PelayarBahtera. Powered by Blogger.
Share

Setelah sekian lama diri menyepi mencari kekuatan hati, dirasakan jari- jemari yang naif menulis ini seakan-akan ingin menari untuk memberi. Pelayaran ini dimulai...

Aktiviti: Jaulah Kelantan-Thailand Siri 2

Saturday 28 January 2012


Hulurkan Tangan Ringankan Beban

Setelah hampir 15 minit kami menikmati keindahan suasana pantai, kami berjalan menuju ke kereta dan sewaktu dalam perjalanan itulah kami terserempak dengan seorang pakcik dan makcik bersama seorang budak yang sedang dalam kesusahan, tayar kereta yang dinaikinya tersekat didalam pasir pantai.

Rupa-rupanya, pakcik ini tinggal di Gua Musang dan kedatanganya ke sini adalah semata-mata ingin membawa cucunya bersiar-siar di pantai ini tanpa mengetahui bahawa jalan ini tidak boleh dilalui oleh kenderaan. Lalu, kami cuba menghulurkan bantuan sedaya mungkin memandangkan hari pun sudah beransur gelap.

Beberapa cubaan dan cara telah di usahakan untuk mengeluarkan tayar yang tersekat tersebut, malangnya semakin di usaha, semakin dalam pula tayar tersebut tertanam dan kereta sedikit pun tidak berganjak dari tempatnya.



Melihatkan usaha yang tidak membuahkan hasil itu,  pakcik tersebut mula menghubungi anaknya untuk datang ke tempat kejadian. Walaupun begitu, kami masih belum berputus asa, cubaan demi cubaan dilakukan walaupun kemungkinan tayar kereta tersebut akan tertanam jauh lebih dalam.

Sekali lagi, engin kereta dihidupkan oleh seorang rakan kami, gear undur dimasukkan, pedal minyak dan kluc diseimbangkan, stereng cekap di 'main-main'kan berselang-seli kekiri dan kekanan. Kami yang berada diluar sedaya upaya menolak kereta tersebut kebelakang, dan selepas beberapa kali cubaan, akhirnya kereta tersebut mulai bergerak sedikit kebelakang tapi malangnya belum sempat tayar yang tersekat itu keluar, enginya tiba-tiba mati.

Melihatkan usaha yang semakin berhasil itu, sekali lagi kami mencuba dan percubaan kali ini akhirnya tidak menghampakan, tayar yang tersekat tersebut berjaya dikeluarkan dari lubang yang dibinanya sendiri, Alhamdulillah.

Sebelum berangkat pergi, pakcik tersebut mengucapkan ribuan terima kasih atas bantuan dan tetap memberikan kami sumbangan walaupun setelah beberapa kali kami tolak. Terima kasih juga kami ucapkan, dapatlah ditampung sedikit sebanyak perbelanjaan perjalanan kami yang masih panjang ini.

Sepetang Bersama

Ketika tibanya kami di Pantai Sri Tujuh tadi, kami terlihat sesuatu yang menyeronokkan dan mungkin amat bermakna untuk dirakamkan dalam album kenangan kali ini lantas kami bercadang untuk singgah sebentar sebelum pulang nanti.

Dah lama sebenarnya berhajat untuk menaiki “Pedal Boat” ini, sewaktu berehlah ke Taman Tasik Perdana dulu, tidak berpeluang untuk menaikinya kerana ia masih dalam proses membaik pulih. Tapi kali ini peluang yang ada di hadapan mata tidak mungkin di lepaskan begitu sahaja dan dengan hanya bayaran RM 2.50 seorang, kami berempat mengelilingi kawasan sekitar menaiki “pedal Boat” ini.






Untuk pengetahuan, buat masa sekarang perkhidmatan “Pedal Boat” dan “Kanoe” ini beroperasi setiap hari kecuali hari Rabu. Harga perkhidmatan ialah RM 5.00 untuk sewaan sebuah “Pedal Boat”,  RM 4.00 untuk sewaan sebuah “Kanoe” dan masa yang diperuntukan ialah selama 20 minit untuk satu kali bayaran bagi kedua-duanya.

Jam sudah menunjukkan hampir pukul 7 petang apabila satu pengumuman dibuat menandakan masa yang diperuntutkan untuk kami sudah berakhir. Walaupun belum puas berkejaran, kami terpaksa berhenti disini sahaja memandangkan malam mulai melabuhkan tirainya.

Hajat kami untuk singgah membeli juadah di Pasar Malam, Wakaf Baru sewaktu dalam perjalanan juga terpaksa dilupakan. Lagi pun kami berkira-kira untuk menunaikan solat fardu maghrib di Masjid Muhammadi, Kota Bharu sebelum meneruskan aktiviti yang seterusnya.

Permandangan Indah Di Sekitar Masjid Muhammadi, Kota Bharu.

Selesai sahaja solat Fardu Maghrib secara berjemaah, kami merehatkan badan yang keletihan setelah sehari suntuk merantau dengan meluangkan sedikit masa bersama jemaah masjid membaca Surah Yaa sin yang telah menjadi amalan kebiasaan disini apabila tibanya malam Jumaat. Setelah selesai, kami bersama-sama menunaikan solat fardu Isya’ dan mendengar sedikit tazkirah rinkas yang disampaikan oleh imam berkaitan solat jemaah.

Alhamdulillah, rezeki datang bagaikan mencurah-curah hari ini, sebelum beredar meninggalkan masjid kami telah dihidangkan dengan jamuan laksa dan air sirap yang begitu menyelerakan. Terima kasih kepada pihak yang telah bermurah hati dan bersusah payah menyediakan santapan untuk malam ini, moga kebaikan kalian dinilai olehNya, insya’allah.



Juadah Makan Malam.


Selesai sahaja menjamu selera, kami meneruskan perjalanan ke destinasi yang terakhir iaitu ke Pidato Mahasiswa yang di anjurkan sempena Kelantan Islamic Creative Exhibition[KITE] oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Pidato Mahasiswa kali ini diadakan di Kelantan Trade Center dengan tema “Suara Mahasiswa Suara Keramat” dan menghimpunkan barisan pemidato-pemidato dari kalangan pimpinan-pimpinan mahasiswa.

Dikepalai oleh Sdr. Syazwan [Mantan Presiden Gamis] sebagai moderator majlis yang sering menghangatkan dewan, Sdr Adam Adli [Presiden LMP UPSI], Mohammad Iqbal [Presiden SRC IIUM], Sdr Rohayu Rusly [SIGMA GAMIS] Sdr Akram Akrami [Presiden GAMIS], Sdr Siti Nurul Piteriah atau lebih dikenali sebagai Yuyu Luna[LMP UPSI} dan Sdr. Mohd Shazni yang menggantikan Ahmad Fahmi[Presiden PKPIM IIUM].

Suara Mahasiswa, Suara Keramat.

Barisan Pemidato-Pemidato Yang Menghangatkan Dewan.


Para Muslimin Yang Hadir Membanjiri Dewan.

Kehadiran Muslimat Melimpah Sehingga Ke Pintu Masuk.





















Ribuan hadirin termasuk remaja belasan tahun, kanak-kanak, mahasiswa-mahasiswi dari serata negeri dan juga mereka-mereka yang sudah berumur tapi masih berjiwa muda hadir memenuhi dewan menyaksikan pentas pemidato kali ini.

Pelbagai isu-isu semasa diketengahkan kali ini sama ada isu yang terjadi di kalangan mahasiswa sendiri atau pun isu-isu yang melibatkan suasana politik Negara. Keterbukaan Kerajaan Negeri Kelantan dalam memberikan kebebasan bersuara kepada mahasiswa dalam melontarkan pandangan dan kritikan mereka harus di contohi.

Ramai juga kenalan-kenalan yang hadir pada tersebut, jika ada yang tidak disapa atau ditegur, mohon maaf sebanyak-banyaknya, bukan sombong tapi mungkin tidak perasan dalam kekalutan ribuan yang hadir.

 Pidato Mahasiswa akhirnya melabuhkan tirainya lebih kurang jam 12.30 malam dengan sambutan laungan takbir yang menggamitkan dewan dan kami, terus berangkat pulang ke tempat penginapan sejurus sahaja selesai majlis oleh  kerana badan terlalu penat setelah seharian mengembara.

Tiba sahaja di tempat penginapan, kami terus terlena bersama detik-detik manis perjalanan sepanjang hari ini walaupun hanya tidur beralaskan karpet dan berselimutkan tuala. Lena malam ini lena menanti esok pagi. 

Dalam perancangan kami keesokan paginya, bagi melengkapkan lagi Jaulah kami kali ini, kami bercadang untuk ke Medan Ilmu, menghadiri Kuliah Jumaat yang biasanya di adakan di sini setiap pagi jumaat. Malangnya, pagi itu bumi telah dibasahi hujan lebat dan kami terpaksa membatalkan niat di hati. Insya’allah, minggu depan kita ke sana.

Sauh Dilabuhkan,
Wassalam.
PelayarBahtera...

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Rancang perjalanan hidupmu sebaik mungkin tanpa melupakan bahawa Dia juga punyai perancangan tersendiri buat hidupmu. Usah terlalu berharap pada yang Dimiliki, panjatkan segala kebergantunganmu hanya pada yang Memiliki" -DaMai-