PelayarBahtera. Powered by Blogger.
Share

Setelah sekian lama diri menyepi mencari kekuatan hati, dirasakan jari- jemari yang naif menulis ini seakan-akan ingin menari untuk memberi. Pelayaran ini dimulai...

Showing posts with label Cerpen. Show all posts
Showing posts with label Cerpen. Show all posts

Diari: Kisah Di Sebalik Sehelai Serban Itu

Tuesday, 15 May 2012

Pagi Jumaat yang menDamaikan.

Azan solat Subuh yang dikumandangkan mulai kedengaran dari salah sebuah Masjid berdekatan, memecahkan kesunyian malam. 

Rida' Hadiah Dari Adikku Sempena Hari Kelahiranku Yang Ke 21. Trmksh Dik.:)

Siap sedia untuk ke Masjid, jubah putih dikenakan, kain rida' bewarna perang dan serban putih yang terletak elok di atas rak dicapai lalu terus menuju ke arah cermin yang terletak bersebelahan pintu bilik. Rida' itu di letakkan di atas bahu, manakala serban itu dilipat rapi kemudian... 



*****


11 Nov 2008, SPM 4 Tahun yang lalu.


Esok ada exam lagi, subjek Sejarah. Diri masih tidak sepenuhnya sedia, makin di baca makin banyak terasa yang belum di''cover'', fakta yang beratus, kronologi yang pelbagai, aduh, pening kepala.

Maghrib hampir tiba. Pelajar yang masih lagi di padang, mulai bersurai. Semuanya bergegas, siapkan diri untuk solat fardhu Maghrib. Yang telah siap, ada yang ke Dewan Makan Putra untuk makan malam, ada juga yang terus ke Masjid untuk mengimarahkanya dengan alunan Al-Quran, menanti masuknya waktu Maghrib.

Begitulah biasanya ragam para pelajar SMKA Falahiah di waktu senja. 

Saya bersiap awal petang ni, dengan berkainkan kain sarung dan Jubah Pakistan bewarna Unggu, disamping beg galas di belakang, saya terus ke Dewan Makan untuk makan malam kerana malam ni, lepas solat Maghrib, cikgu Mastura, guru Sejarah kami akan adakan kelas tambahan buat pelajar-pelajar SPM. "Final Touch" dan tips-tips akhir, sebelum memasuki dewan peperiksaan. 

Diri ini kagum dengan kesungguhan cikgu, tidak menghiraukan erti penat dan lelah dalam mendidik para pelajarnya. Terima kasih cikgu. 

Usai solat Fardhu Maghrib dan 2 rakaat solat sunat Hajat. Saya dan teman-teman terus ke Bilik Wawasan, tempat di mana kelas tambahan Sejarah di adakan. 

Bilik Wawasan selalunya digunakan untuk mesuarat para guru, dengan meja panjang terletak di tengah-tengah, dan hampir 30 buah kerusi mengelilinginya. Bunga plastik di tempatkan di atas, tegah-tegah meja mesyuarat bagi menceriakan suasana dewan.

Kelas berjalan seperti biasa, cikgu sibuk di hadapan melaksanakan tugasnya, manakala para pelajar ada yang fokus, meneliti setiap kata-kata cikgu. Ada juga yang sibuk menyalin nota yang tidak sudah-sudah, mentelaah nota-nota ringkas dan tidak kurang juga yang berbual-bual di belakang.

Dan saya memilih tempat yang paling jauh di belakang, entahlah, tidak ingat apa yang dilakukan waktu itu, sedang memerhati tingkah laku para pelajar barangkali.

Tiba-tiba.

Kami di kejutkan dengan bunyi pintu Bilik Wawasan di buka dan kelihatan seorang lelaki yang amat di kenali berada di hadapan pintu, ia adalah guard sekolah kami. 

Suasana kelas sunyi, semua mata tertumpu kearahnya.

 Ia berhenti seketika di hadapan pintu, lagak ia sepertinya ia sedang mencari seseorang di dalam kelas, entah siapa yang di carinya. Dan entah kenapa, suatu ketika saya merasakan matanya tepat memandang mata saya sebelum ia memberi salam dan berjalan pantas ke arah cikgu.

Mungkin sekadar khayalan semata.

Guard tersebut sedikit menundukkan dirinya, membicarakan sesuatu kepada cikgu yang sedang duduk di atas kerusi utama. Cikgu menganggukan kepala tanda memahami apa yang telah di sampaikan lalu guard tersebut berdiri di samping cikgu menantikan tindakan cikgu selanjutnya.

Kami tertanya-tanya.

Menggunakan mikrofon yang telah tersedia di atas meja mesyuarat, cikgu mula bersuara, dan tanpa di duga...

"Syahrul Azlan Abdullah, sila kehadapan... ada tetamu menunggu awak di luar."

Terkejut, sapa pula yang datang malam-malam ni..?

"Syahrul..?"

Sekali lagi nama saya dipanggil.

"Ya saya cikgu.."

Saya bangun dan lantas menuju ke arah pintu yang terbuka di hadapan, sememangnya terasa semua mata sedang mengekori setiap langkah saya, saya hanya tersenyum.

Guard mengiringi saya di belakang.

 Setibanya di luar, kelihatan Abah sedang menunggu. Saya menghulurkan tangan, setelah salam di sambut saya mencium tanganya. 

"Ada gapo Abah..?"

"Gi balik umah Mek, Ayah (panggilan buat atuk saya) xdok doh... "

"meninggal petang tadi...umi dengan adik-adik ado sano blako doh"

Bagaikan disentap, saya terkejut. Tiada satu patah perkataan pun yang terucap.

"Nak gi simpan buku jap bah."

Saya bergegas kembali ke Bilik Wawasan. Dan kali ini, ternyata sememangnya semua mata tertumpu ke arah saya, tanpa menghiraukan mereka, saya terus ke tempat duduk dan mengemaskan buku-buku. 

"Sapo maghi yo, ad gapo..?

Sebak mulai terasa, namun di tahan..tiada sepatah pun jawapan yang keluar dari mulut ini.

"Mung nk gi mano ni yo..?"

"Aku ado kijo sikit..." Hanya itu jawapan yang saya mampu beri ketika itu.

Siap sahaja buku di kemasakan, saya kembali ke arah pintu. 

"Saya minta diri dulu cikgu..."

Cikgu mengangguk tanda mengizinkan, beliau memahami. 

Kereta di pandu laju, namun keadaan di dalam kereta sunyi sepi, sekali lagi saya senyap. Entahlah, waktu itu terasa seolah-olah mulut ini terkunci. Cuma kadang-kala abah bertanya mengenai peperiksaan esok hari, jawapan yang beri kelihatan tidak bersemangat. 

Saya biarkan mata ini memandang sayu ke arah kegelapan malam air yang mengalir di Sungai Kelantan.

Sekitar 20 minit perjalanan, saya tiba di halaman rumah di kampung Penambang, kediaman Mek dan Ayah. Malam ini rumah kelihatan terang, sepertinya ramai berada di atas, lain dari kebiasaan.

Saya dan Abah terus naik ke atas, setelah memberi salam dan bersalaman dengan tetamu yang hadir, ada antara mereka yang di kenali dan ada yang tidak, saya masuk ke dalam, ke tempat jenazah Ayah di tempatkan, di suatu ruang. Jenazah di selimuti beberapa helai kain, dan beberapa orang kelihatan sedang membacakan surah Yasin di samping jenazah, sedekah buat jenazah. 

Saya menyertai mereka. Diambil surah Yasin yang terletak di dalam sebuah bakul lantas di baca, hadiahkan buat Atuk. Walaupun saya dan Ayah tidaklah serapat mana, tapi pemergianya amat dirasai malam itu. Diceritakan Ayah pergi ketika ia sendirian di rumah, ketika itu, Mek keluar. Punca kematian, saya tidak berapa pasti, kerana ia mati mengejut, mungkin penyakit orang lama.

Mungkin ajalnya telah sampai di sini.

Setelah hampir 1 Jam saya di sisi jenazah. Abah ingin meminta diri, ingin menghantar saya kembali ke sekolah kerana esok pagi saya bakal menduduki satu lagi kertas pepriksaan. 

Saya akur.

Sebelum berangkat, saya sempat sekali lagi melihat wajah arwah, Tenang. Di kucup dahi arwah buat kali terakhir, mungkin saya tidak sempat untuk menghadiri proses pengebumian arwah esok pagi.  Sebak.

Walaupun berat, kaki ini melangkah pergi.

Setibanya di asrama, saya tidak bercadang untuk menyambung ulangkaji subjek Sejarah. Saya tahu, jika saya teruskan mungkin saya hanya akan termenung di hadapan buku.

Saya mengambil keputusan untuk I'tiqaf di masjid.

 Beberapa orang pelajar kelihatan sedang mengulang kaji pelajaran mereka. Saya berwuduk dan menunaikan solat sunat dua rakaat, setelah itu, saya kembali membaca surah Yassin, entah untuk keberapa kali saya ulang dan ulang pada malam itu.

Dan di sini, air mata yang jernih itu mengalir. Akhirnya, saya tertidur. Hanya sepi yang menemani.

Kini, hampir sebulan hal itu berlalu..

Peperiksaan SPM telah berakhir, cuti penggal pun sudah bermula. Saya dan keluarga kembali pulang ke kampung. Berhajat untuk tinggal di sini beberapa hari. Kini, Tok Mek hanya keseorangan tinggal di rumah ini.

Jika sebelumnya berteman, kini sendirian.

Suatu hari, Tok Mek meminta bantuan kami untuk mengemaskan barang-barang yang di tinggalkan Ayah sebelum ia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Kami mengikutinya dengan senag hati. Dan sewaktu sibuk mengemas, saya mengambil peluang, melihat-lihat barangan tinggalanya. Terdapat beberapa bentuk Cincin lama, beberapa bilah Keris lama yang unik ukiran dan pelbagai bentuknya.

Dan di suatu sudut di dalam almari Ayah, saya terpandang sehelai serban yang terlipat rapi di antara helaian baju-bajunya. Hati terpikat.

"Tok Mek, ore nak serban ni bleh..?"

"Ambik la long, duk situ pun tak dok ore guna jugak..."

"Alhamdulillah.."

Hati melonjak kegembiraan mendengar akan jawapan tersebut.

"Terima kasih Mek.."


*****



...serban itu dililitkan, kemas di atas kepala.


Serban Milik Arwah Atuk. Moga Pahala Ini Terus Mengalir Buatnya.


Tiada yang lain terdetik dihati selain mengharapkan pahala sunnah Baginda S.A.W buat diri, juga pahala Sedekah Jariah yang harapnya akan terus mengalir buat arwah Ayah. Al-Fatihah.

Sekian.

p/s: Siapalah nanti agaknya yang akan menghadiahkan dan sentiasa menyiapkan saya sehelai jubah putih.

Sauh Dilabuhkan,
Wassalam.
Pelayar Bahtera.
23 Jamadil Akhir 1433

Read more...

Diari: Kasih Nurul Sazlina ❀ܓ

Friday, 16 March 2012


Hadirnya ia disisi melengkapi suasana.
Kemanjaanya, senyumanya, karenahnya. 
Sungguh semua itu memberi bahagia.
Moga, disana nanti dikau miliki syurga.

Bagaikan Sinar Fajar terbit di Ufuk Timur.

Nurul Sazlina bersama ayahnya.

Usai solat asar.

“Ina, nak teman Along pergi pasar malam tak?”

“Nak-nak… tapi along kena belanja Ina, hehe.”

“Pulak dah, duit Ina mana?”

“Duit Ina ada…tapi Ina nk simpan, untuk masa depan...”

“Laa, guna je la duit tu..”

Ina mengerutkan dahinya.

“Emm,Kalau gitu… along gi sorang je lah, Ina nak duk rumah, tengok citer.”

“Yelah-yelah, heee, merajuk!”


“Yeaaaa, Along belanja..Hehe, biasa la, Ina kan budak-budak lagi”

Senyumanya manis. Cute.

“Along, kita nak pergi dengan apa ni…kereta..?"

“Kereta apa pulak, pasar malam belakang rumah je, ngada-ngada la budak ni..”

“Alaa.. bukanya selalu, kadang-kadang je..”

“Tak ada maknanya kadang-kadang, tak pasal-pasal pulak kena cari tempat parking nanti..Dah-dah, cepat siap… Along tunggu kat luar”

Ina bergegas menuju ke bilik untuk mengambil tudungnya. Tudung kecil bewarna merah jambu yang disarungkan membuatkan mukanya yang bulat itu bertambah comel. Setelah itu, ia berlari menuju ke pintu dapur, mencari seliparnya.”

“Alooong, selipar Ina hilang..”

“Ada la, pergi tengok kat luar tu..letak kat luar, p cari kat dapur, memang la tak jumpa..”

“Hehe”

Beserta senyuman comelnya, ia berlari ke luar.

“Along, tunggu la Ina..”

Ina berlari anak mengejar along dihadapan.

“Cepatla..”

“Tangan Nurul Sazlina disambut, dipimpinnya tangan kecil itu menuju ke pasar malam.

**********

Tiba di pasar malam, kelihatan masih belum ramai orang yang bertandang, salah satu sebab kenapa Along suka datang ke pasar malam selepas waktu asar. Satu lagi, makanan masih banyak.

“Ina, nak makan apa ni..?”

Sambil berfikir, Ina memandang ke arah gerai-gerai yang ada disekeliling, pelbagai juadah yang dihidangkan.

Dengan raut muka yang xbersalah.

“Emm, Along belikan Ina Ayam Bakar Madu, Pulut yang inti kelapa warna hijau tu, air Coconurt Shake dan..Apam Balik yang kecik..Tu je, hehe..”

“Amboi!! Mentang-mentang orang belanja, habis semua yang ada kat pasar malam ni dia nak angkut..badan kecik je, tapi makan banyak..”

“Hehe…ada orang nak belanja, biasa laa..”

Hampir 20 minit Along membawa adiknya mengelilingi kawasan sekitar pasar malam.

Ditengah-tengah kesibukan orang ramai yang sedang membeli juadah, seorang pak cik sedang memainkan akordeon sambil mengalukan alunan suara merdu lagu-lagu indah yang menambahkan lagi keriuhan suasana pasar malam.

“Kasihan kat dia kan Long.. Tapi pandailah dia main lagu, sedapkan suara dia..”

Walaupun hidup tanpa cahaya tapi pak cik itu masih berusaha mencari rezeki menggunakan segala kudrat yang masih berbaki. Tidak seperti sesetengah peminta sedekah, dilihat fizikalnya masih kuat, tapi sekadar menghulurkan tangan kosong meraih simpati.

“Ina, nak beli ayam madu ni kan..?”

“Emm, along…Ina nak tukar boleh tak, along tak payah belanja la Ina makanan-makanan tadi..Ina nak beli benda lain”

“Nak beli apa..”

“Tu… Gula-gula kapas, Ina nak satu ni je..yang lain tak payah beli tak pe..boleh kan along kan..”

“Eh, pandai-pandai pulak dia nak tukar..Tak boleh-tak boleh, benda tu bukanya kenyang..”

“Boleh la Along, boleh laaa..satu ni je…”

“No, no… Kalau nak beli sendiri…”

“Kedekut la Along ni….”

“Kalau beli benda tu memaaang Along kedekut, tapi kalau beli makanan Along ok je..beli makanan laa, kenyang sikit, ok..?”

Ina memuncungkan mulutnya sambil memintal-mintal tali tudungnya yang dipakai.”

“Hurmmmmmm….ok la..”

Waktu maghrib hampir tiba, para pengungjung mulai mempercepatkan langkah mereka kerana di sini apabila masuknya waktu maghrib, segala aktiviti jual beli akan dihentikan buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada para peniaga menunaikan solat fardhu maghrib.

“Ina, ada nak beli apa-apa lagi..?”

“Emm, tak ada dah..”

“Kalau gitu, dah, jom balik….”

“Eh, Long, jap..Air xbeli lagi ni…”

Along kehairanan.

“Laaaa, tadi kan dah beli…”

“Yang tadi tu..Ni haa, dah habis dah..hehe”

“Bertuah punya budak..minum sorang-sorang je..”

“Kan Along belanja Ina.. lagipun, letih tau jalan-jalan ni..”

“Letih dia je yang dia ingat.. Letih kita..?”

“Along tak pe la sebab Along dah besar… Ina ni kecik lagi…Tu la, tadi orang suruh datang dengan kereta tak nak..”

“Eeiiii, nak kena jugak budak kecik ni...Dah-dah, tu ada gerai air kat depan, kita beli sana…”

“Hehe…”

“Bang Coconurt Shake satu….”

“Ok, siap..”

“Terima kasih..”

“Ina…Dah, jom kita balik, dah nak gelap dah ni…”

“Emm, Along.. Along ada duit kecik tak…”

“Ada, kenape..?”

“Nak..!”

“Hmm, nak buat apa, Ina nak beli apa lagi..tak cukup lagi ke makanan ni..?”

“Ada la..Along, bagi laa..Seringgit je..boleh la Along…”

Along mengeluarkan duit dari dompetnya.

“Ina nak beli apa ni, kalau gula-gula kapas Along tak bagi…?”

“Bukan nak beli gula-gula kapas..ada laa…cepat la Along..”

Along menghulurkan sekeping not berjumlah satu ringgit kepada adiknya.

“Terima kasih Long.. Along tunggu sini jap eh, jap je..” Ina berlari kearah orang ramai yang masih sibuk membeli juadah.

“Eh, Ina..! nak pergi mana tu..”

“Along tunggu situ jap…jap agi Ina datang balik..”

Lima minit kemudian.

Ina kembali sambil tersenyum-senyum . Tapi tidak kelihatan pun makanan yang dibeli ditanganya.

Along kehairanan.

“Mana duit tadi..Ina beli apa..tak ada apa-apa pun..?”

“Ina bagi kat pak cik buta yang tengah main musik tadi..Ina kesian kat dia, mesti dia susah kan Long…”

Along terdiam.

 Terbit rasa terharu di dalam hatinya, kan bagus kalau semua orang macam kamu dik. Pasti aman dunia.

Along tersenyum sendirian. Menggosok lembut kepala adik bongsu kesayanganya. Moga syurga milikmu dik.

“Dah, jom kita balik..”

Along memimpin tangan adiknya menuju kerumah. Cerah mulai kelam, langit merah mulai menghilang.

Sekian.

Sauh Dilabuhkan,
Wassalam.
Pelayar Bahtera…
23 Rabi’ul Akhir 1433

Read more...

Cerpen: Lafaznya, Bukan Sekadar Pemanis Bicara.

Saturday, 3 March 2012


Kelihatan urusetia sedang sibuk menjalankan tugas mereka, manakala di suatu sudut, Syafiq tekun meneliti baris-baris terakhir  kertas kerja yang akan dibentangkanya sebentar lagi  menggantikan pembentang asal yang tidak dapat hadir kerana terlibat dengan satu kemalangan empat hari lepas.

Sedang semuanya sibuk dengan tugas masing-masing, mereka dikejutkan dengan bunyi pintu yang dibuka dan kelihatan sosok tubuh amir terhinjut-hinjut berjalan kearah mereka.

“Eh Amir! Apa yang kau buat kat sini, kan kaki kau masih belum ok lagi tu, rehat je lah kat rumah, nanti makin menjadi-jadi luka kau tu” nasihat Hakim, teman baiknya sejak dari sekolah rendah lagi hinggalah sekarang.

“aku ok je la, lagi pun ni memang dah jadi tanggung jawab aku” respon Amir bersahaja.

“Ye la, tapi aku tengok kaki kau tu masih belum baik sepenuhnya lagi, kalu jadi apa-apa kan kau jugak yang susah, lagipun dengan waktu yang ada ni aku tak rasa kau ada masa yang cukup untuk ‘prepare’ isi-isi pembentangan pagi ni ,” Hakim melahirkan rasa prihatin dan khuatir terhadap sahabatnya.

“Aku tak apa-ape la, dah dah bagi aku kertas kerja tu, tak perlu nak ‘prepare’ banyak-banyak pun, semuanya  dah ada kat dalam kepala otak aku ni” jawapan Amir seolah-olah membanggakan diri itu melahirkan rasa kurang enak sahabat-sahabat terhadap dirinya.

“Sombong diri nampak, dengar la cakap Hakim tu Mir, kamu tu belum sembuh lagi, lagipun kami dah minta tolong Syafik untuk gantikan tepat kamu, dia pun dah bersedia dah tu” tambah Ainun yang memang tidak suka dengan sikap Amir yang terlalu ambil mudah dalam satu-satu perkara.


“Aku dah cakap aku boleh handle aku boleh handle la kan, korang  jangan sibuk sangat boleh tak, dah! Pergi buat kerja”  tegas Amir membuatkan rakan-rakanya terus senyap, bukanya mengalah tapi tidak mahu bertengking dengan Amir, terkenal sangat dengan sifatnya yang cepat melenting.


Persembahan Amir kali ini kurang memuaskan sepanjang slot, perbentangan yang tersekat-sekat melihatkan ketidak sediaanya dalam menghuraikan isi perbentangan. Sewaktu sesi soal jawab pula, Amir kelihatan tergagap-gagap memberi jawapan menyebabkan mulai kedengaran bisikan suara-suara kecil para peserta.


Tidak senang melihat akan keadaan itu, sahabatnya Hakim yang berada dibelakang  dewan tampil kehadapan memberikan penjelasan dan menjawab persoalan-persoalan yang dikemukakan oleh para peserta. 

Nafas kelegaan terlihat di wajah urusetia yang berada di belakang apabila Hakim berhasil mententeramkan kembali suasana dewan.Slot seterusnya ditangguhkan dengan Kafaratul Majlis dan Surah Al-Asr.


***********************************************************************************

 “Kau ni memang saja nak malukan aku kan”  sindir Amir  kepada Hakim setelah mereka tiba di bilik urustia. Ia agak tercabar sewaktu Hakim membantunya ketika sesi soal jawab tadi.

“Apa kau cakap ni Mir, aku hanya nak bantu kau je tadi, tak terniat walau sedikit pun di hati aku, yang aku  nak malukan sahabat aku sendiri.” Hakim menafikan, agak terkejut dengan tuduhan sahabatnya.

“Aaah! kau ni memang dari sekolah rendah lagi, suka tengok aku diperlekehkan macam ni, suka kalau aku dimalukan, kau ni sahabat jenis apa ah!”  Amir semakin naik angin, masih tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku tadi.

“Dah la Amir, aku tak nak bertengkar, kau pergilah rehat dulu dan aku tak kisah pun apa yang kau cakap pasal aku, yang aku tahu niat aku tadi ikhlas nak bantu kau. Maaflah kalau aku ada buat salah” Hakim mengalah dan berlalu, dia tahu mungkin emosi Amir sedikit terganggu selepas terlibat kemalangan tempoh hari ditambah dengan kejadian di dalam dewan sebentar tadi.

“Hakim, kau nak pergi mana tu? aku belum habis lagi dengan kau ni, kau jangan nak mengelak dari aku” soal Amir yang masih tidak berpuas hati dengan Hakim yang pergi begitu saja selepas memalukanya tadi.

Hakim tidak menghiraukan teriakan Amir, baginya tidak perlu untuk ia bertengking dengan Amir akan perkara kecil sebegini, masih banyak tugas yang perlu diselesaikan. Hakim meneruskan langkahnya menuju ke arah pintu keluar.

Berang dengan sikap Hakim yang tidak mempedulikanya, Amir mengambil botol air yang masih penuh terisi di atas meja lalu melontarnya kearah Hakim untuk menghalangnya keluar. Botol tersebut terkena tepat di kepala Hakim menyebabkan ia tersandung meja lalu rebah, kelihatan bibirnya sedikit  terluka. Amir terkejut.

Para urusetia terkejut dengan tindakan Amir, belum sempat mereka hulurkan bantuan,Hakim bangkit dan mengesat titisan darah yang mengalir dibibirnya. Ia seolah-olah tidak percaya bahawa Amir akan sanggup mencederakan dirinya. “Amir, kita dah lama bersahabat Mir, sejak dari sekolah rendah lagi aku kenal kau kan, dan aku memang kenal sangat bahawa sahabat aku yang sorang ni memang cepat melenting sikit berbanding sahabat-sahabat aku  yang lain, tapi tak pe sebab aku faham, aku faham kerenah sahabat aku sorang ni. Cumanya hari ni aku sedikit terkejut dengan tindakan kau Mir, mungkin salah aku juga, aku masih belum betul-betul memahami sahabat aku. Aku tak kisah pun kalau kau nak buat aku lebih teruk dari ni kalau kau rasa tu boleh puaskan hati kau. Tapi aku tertanya-tanya mana sifat Salamatus Sodri(berlapang dada) yang seringkali kau sebut-sebut sewaktu usrah kita dulu?”  Hakim melahirkan rasa kekecewaanya terhadap Amir.

 “Ermm, Hakim aku mint…” belum sempat Amir melahirkan rasa kekesalan atas tindakanya tadi, Hakim meneruskan lagi ucapanya.

“Kalau kau masih ingat kan, sewaktu awal-awal persahabatan kita dulu, pernah aku bertanya,  kenapa ya sampai Allah mengutuskan dua orang rasul dalam satu tempat contonya seperti Nabi Harun Nabi Musa dan Nabi Isa dan Nabi Yahya A.S. Dan jawapan yang kau berikan dulu masih segar di ingatan aku Mir” Hakim membiarkan Amir seketika mengimbau kembali detik-detik itu.

“Kata kau, Hakim, sebenarnya salah satu daripada sebab kenapa di utuskan dua orang rasul  dalam satu tempat atau satu tempoh masa adalah untuk mereka saling bantu membantu dalam menjalankan usaha dakwah kepada masyarakat kaumnya. Sebagai contoh dalam kes Nabi Musa dan Nabi Harun A.S,  diriwayatkan bahawa Nabi Musa tidak petah bercakap kerana bara api yang telah membakar lidah baginda sewaktu kecil. Nabi Musa pernah memukul kepala firaun sewaktu kecil ketika didukungnya. Perkara ini menyebabkan Firaun merasa marah dan hendak menjatuhkan hukuman keatasnya iaitu pancung. Isterinya Asiah yang terlalu kasih kepada Musa meminta diberikan peluang untuk diadili kerana beliau masih kecil. Lantas baginda diberi pilihan antara bara dan permata. Apabila baginda hendak mencapai permata, Malaikat Jibril menolak tanganya kepada bara api lalu dimakan, hingga terbakarlah lidahnya. Jadi, salah satu sebab kenapa Nabi Harun diutuskan bersama-sama Nabi Musa ialah agar baginda dapat membantu Nabi Musa dalam menyeru manusia kepada Allah.” Hakim menceritakan kembali detik-detik awal perkenalan mereka dahulu.

“Amir, niat aku hanyalah untuk mencontohi kisah perjuangan Nabi Harun yang membantu saudaranya Nabi Musa dalam menyampaikan risalah Islam, ternyatanya ia tidaklah semudah yang aku sangka tapi akan aku usahakan lagi Mir. Cuma pesan aku buat, lafaz manisnya ukhuwwah bukan sekadar penghias bicara, tapi ia akan sendirinya hadir bila hati-hati insan bersatu bersama membantu dalam perjuangaNYA.” Hakim sebak, ia mengakhiri kata-katanya dengan sepotong ayat suci al-Quran sebelum berlalu pergi.

“Dan Sesungguhnya Kami telah berikan Kitab Taurat kepada Nabi Musa, dan Kami lantik saudaranya Nabi Harun, sebagai pembantunya."  [Al-Furqan : 35]


“Puas hati??? Susah sangat ke nak ucap terima kasih kepada orang yang telah membantu kita, mahal sangat ke harga ucapan terima kasih tu? Hiduplah dengan rasa ego dalam diri tu!.” Bentak Ainun yang terkilan dengan kelakuan Amir sebentar tadi lalu pergi meninggalkanya sendirian.

Amir terpaku seketika mendengar kata-kata dari sahabatnya. Terasa berat dadanya lantas titisan jernih mula mengalir keluar dari kedua anak matanya, moga titisan ini titisan keinsafan akan khilafnya, moga titisan ini akan mengukuhkan lagi ukhuwwah di antara mereka, “Maafkan aku sahabat”. 

-Sekian-

p/s: Cerpen ini pernah dihantar dalam satu pertandingan dan telah terpilih untuk dimuatkan dalam satu majalah. Dapatlah sedikit hadiah. :p Memang diakui jalan ceritanya tak menarik pun dan yang ini telah di edit sedikit kerana karya yang asal terlalu ringkas. Hadiah dan terpilih untuk masuk dalam Majalah tu mungkin sebab tak de sangat kot orang hantar, tu yang dapat tu. Apa pun Alhamdulillah, dapatlah dikongsi hadiah yang sedikit tu dengan beberapa orang teman.



Sauh Dilabuhkan,
Wassalam.
PelayarBahtera...

Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Rancang perjalanan hidupmu sebaik mungkin tanpa melupakan bahawa Dia juga punyai perancangan tersendiri buat hidupmu. Usah terlalu berharap pada yang Dimiliki, panjatkan segala kebergantunganmu hanya pada yang Memiliki" -DaMai-