PelayarBahtera. Powered by Blogger.
Share

Setelah sekian lama diri menyepi mencari kekuatan hati, dirasakan jari- jemari yang naif menulis ini seakan-akan ingin menari untuk memberi. Pelayaran ini dimulai...

Diari: Pelayaran Bahtera Perjuangan

Saturday 3 December 2011

بسم الله الرحمن الرجيم

Pelayaran Bahtera Ini Bermula.



Seorang pelayar, pelayar bahtera yang akan membelah luasnya lautan Ilahi. Bahtera ini, Bahtera Perjuangan dan lautan ini, Lautan Kehidupan. Pelayaran dalam mencari dan mendalami Hakikat Sebenar Kejadian diri di atas muka bumi. 

Pelayaran yang tidak pernah diketahui manakah sudahnya, bilakah akhirnya, cuma yang pasti pelayaran ini tidak lain tidak bukan akan membawa diri menuju Kehidupan Abadi, dan tika tibanya disana nanti, walau seluas manapun Lautan Ilahi, akan tiada lagi laluan pulang. 

Justeru, dengan izinNya akan dikemudikan Bahtera Pelayaran ini sebaik mungkin hingga nanti tiba disuatu saat berlabuhnya pelayaran ini di Destinasi Perlabuhan Hakiki membawa bersama Keredhaan Ilahi. 

Persoalan Dan Kepastian.

Hakikatnya, diri ini tidak pasti, sejauh manakah pelayaran ini? Berapa lamakah harus didayungi bahtera perjuangan ini? Apakah sempat untuk Bahtera tiba di destinasi yang dituju? Kuatkah diri mengharungi segala onak dan duri?

Ya, seringkali persoalan-persoalan sebegini hadir berlegar-legar dibenak fikiran tanpa diberikan jawapan, namun, melihat akan keluasan Lautan Kehidupan ini, diri seolah-olah mengerti bahawa pelayaran ini masih panjang jaraknya, masih jauh perjalanan yang harus ditempuhi.

Dan suatu kepastian juga, pelayaran ini bukan semudah yang disangka untuk didayungi. Mungkin saja ombak badai sedang menanti dihadapan, menanti untuk menguji, seteguh manakah pelayar-pelayar bahtera dilautan ini. Seteguh manakah diri mampu mengemudi Bahtera Perjuangan ini.

Seorang Pelayar Yang Hebat.

Seorang pelayar yang hebat di Lautan Luas Ilahi, tidak mungkin diuji dengan sapaan angin sepoi-sepoi bahasa,  titisan hujan selembut titisan embun, lambaian ombak setenang aliran sungai mengalir.Tapi, seorang pelayar yang hebat akan lahir setelah berjayanya ia mengharungi tamparan ribut taufan, deruan hujan kilat, goncangan ombak yang mengganas di lautan pertempuran.

Mahu atau tidak, diri ini perlu senangtiasa siap untuk menghadapi sebarang kebarangkalian yang mungkin terjadi sewaktu perlayaran. Air yang selalunya tenang, jangan pernah diingat akan selamanya tenang. Angin yang biasanya damai, jangan pernah diingat akan selamanya damai. Beringatlah duhai teman.

Segalanya Dalam Suratan Takdir.

Bahtera ini mungkin saja pecah dipukul ombak, mungkin saja ia akan karam nun jauh di dasar lautan, dan diri ini mungkin saja hanyut dibawa arus ke tengah lautan. Namun, jika berbekalkan hakikat, Allah sentiasa bersama hamba-hambanya, tawakkal dan doa menjadi teman setiap satu usaha, pasti dan pasti segalanya akan selamat jika di izinNYA.

Setiap gerak walaupun sekadar sebutir pasir halus ditepian pantai yang jauh terlindung dari pandangan, semuanya tidak terlepas dari ilmunya Allah, apatah lagi diri sang pelayar lemah ini.

Seandainya pelayaran ini terkandas ditengah lautan, itulah takdirNya buat diri, mungkin hanya disinilah suatu perjalanan menuju destinasi, dan begitu jugalah sebaliknya. Segalanya, atas kehendak yang Maha Kuasa.

Bulan, Teman Setia Pelayaran. 

"Rembulan, Cahayanya Menawan, Menerangi Kegelapan Malam." 

Walaupun jauh ia terawang-awangan di atas sana, ia tetap dekat dihati. Sentiasa menemani diri dalam pelayaran yang entah dimana kesudahanya. Cahayanya menerangi pelayaran ini dikala gelap menyelubungi malam. Setia mendampingi dikala hati dilanda resah, gelisah. Di sanalah tempat berkongsi suka duka dalam mengharungi pahit getir pelayaran ini.

Memandang akan keindahan cahaya yang terpancar darinya membuatkan hati menjadi tenang, segala yang resah beransur hilang walaupun mungkin untuk seketika, tapi kehadiranya cukup untuk diri merasai Nikmatnya Ketenangan. Dimanapun jua diri ini berlayar, akan tetap menatap keindahan cahaya bulan yang sama. Moga akan terus sentiasa di temaninya.

Bintang, Memandu Arah Perjalanan.

Bintang-Bintang Bertaburan Di Angkasa, Angkasa Raya.
Panduan Mereka Yang Berkelana.
Rasulullah S.A.W sendiri pernah mengumpamakan sahabat-sahabat baginda bagaikan bintang-bintang dilangit, dan begitu jugalah sahabat-sahabat buat diri ini, mereka diibarat bintang-bintang berkelipan nun jauh di langit sana, sentiasa membimbing dan memandu diri ini, membetulkan haluan seandainya bahtera tersasar laluan. Moga tidak pernah jemu, memandu arah pelayaran.  

Pelayar Juga Insan Biasa.

Perlu di ingatkan, walau sehebat manapun seorang pelayar, jika namanya seorang pelayar, maka dia juga adalah insan. Bukannya diri tidak pernah tergelincir dari laluan menuju keredhaan, ya diri ini pernah tergelincir, kerana pelayar ini hanyalah seorang insan biasa, insan yang punyai seribu kemungkinan untuk melakukan kesilapan.

 Dulu, pernah diri ini tergelincir disebabkan oleh kelekaan sendiri, terlampau asyik dengan keindahan dunia dan akibatnya amat pedih, diri ini terluka. Namun kini, untuk diratapi mahupun dikenang sesuatu yang telah berlalu, hanya membuatkan diri ini terus ditertawa.

Pada hemat diri, pelayaran ini harus diteruskan, perjalanan ini masih panjang untuk di tempuhi. Dan sesekali ya, akan dihalakan pandangan ini ke belakang, mengimbau kenangan semalam, agar diri ini sentiasa dingatkan, agar tidak lupa bahawa ia pernah tersungkur dalam pelayaran. Moga, kesilapan itu tidak akan diulangi lagi.

Redahlah Lautan, Usah diLupakan Pengkalan.

Suatu kata-kata yang pernah dilafazkan oleh seseorang buat bekalan pelayaran panjang ini. Mendalam maksudnya, cukup untuk membuatkan diri ini terkenang kembali perjalanan-perjalanan panjang yang pernah dilalui. Pahit dan manisnya bisa mengubat hati yang lesu dan membangkitkan kembali semangat bagi meneruskan pelayaran ini.

Tidak akan pernah dilupakan jasa-jasa kalian yang telah mendidik diri ini menjadi seorang manusia yang mampu berdiri untuk berusaha mengenal Hakikat Sebuah Kehidupan. Moga diri ini sentiasa dalam tiap bait bicara doa kalian.




Dan pada Bahtera Pelayaran ini, akan dinukilkan segala macam pengalaman yang telah dilalui, sedang dilalui dan yang mungkin akan dilalui sepanjang pelayaran ini. Akan dikongsi pahit manis dan akan dititipkan juga pengajaran, pandangan atau apa sahaja yang mungkin difikirkan bermanfaat kepada insan yang sedang juga melayari Bahtera Perjuangan Lautan Kehidupan ini.

Apa yang baik sudikanlah dijadikan pedoman buat bekalan pelayaran, dan yang tidak, hanyutkanlah ia ke dasar lautan, hilangkanlah ia dari pandangan. Moga kebaikan untuk semua.

Akhir bicara, mohon didoakan agar diri ini terus kuat dan teguh dalam mengharungi dugaan dan badai yang bakal mendatang sepanjang pelayaran. Segala silap dan salah mohon dimaafkan. Apa yang diharapkan, moga-moga melalui coretan-coretan perkongsian ini, akan menambahkan saham untuk diri di akhirat kelak.

Segala teguran dan pesanan buat diri ini amat dihargai, moga-moga ia akan menjadi bekalan yang berguna untuk diri agar terus thabat dalam melayari Bahtera Perjuangan Lautan Kehidupan, Menuju Destinasi Perlabuhan Hakiki.


Pelayar Bahtera Lautan Luas Ilahi.

Sauh Dilabuhkan,
Wassalam.
PelayarBahtera...

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Rancang perjalanan hidupmu sebaik mungkin tanpa melupakan bahawa Dia juga punyai perancangan tersendiri buat hidupmu. Usah terlalu berharap pada yang Dimiliki, panjatkan segala kebergantunganmu hanya pada yang Memiliki" -DaMai-