PelayarBahtera. Powered by Blogger.
Share

Setelah sekian lama diri menyepi mencari kekuatan hati, dirasakan jari- jemari yang naif menulis ini seakan-akan ingin menari untuk memberi. Pelayaran ini dimulai...

Lakaran: Ingin Menjadi Anak Yang Soleh

Friday, 23 March 2012


Ingin Menjadi Anak Yang Soleh

Gambar yang dilukis kat atas sepatutnya gambar pelayar bahtera sewaktu kecil.., macam ni ke rupanye? Tembam semacam je..-_-"..

Pelayar Bahtera..
22 March 2012
23:28..

Read more...

Diari: Kasih Nurul Sazlina ❀ܓ

Friday, 16 March 2012


Hadirnya ia disisi melengkapi suasana.
Kemanjaanya, senyumanya, karenahnya. 
Sungguh semua itu memberi bahagia.
Moga, disana nanti dikau miliki syurga.

Bagaikan Sinar Fajar terbit di Ufuk Timur.

Nurul Sazlina bersama ayahnya.

Usai solat asar.

“Ina, nak teman Along pergi pasar malam tak?”

“Nak-nak… tapi along kena belanja Ina, hehe.”

“Pulak dah, duit Ina mana?”

“Duit Ina ada…tapi Ina nk simpan, untuk masa depan...”

“Laa, guna je la duit tu..”

Ina mengerutkan dahinya.

“Emm,Kalau gitu… along gi sorang je lah, Ina nak duk rumah, tengok citer.”

“Yelah-yelah, heee, merajuk!”


“Yeaaaa, Along belanja..Hehe, biasa la, Ina kan budak-budak lagi”

Senyumanya manis. Cute.

“Along, kita nak pergi dengan apa ni…kereta..?"

“Kereta apa pulak, pasar malam belakang rumah je, ngada-ngada la budak ni..”

“Alaa.. bukanya selalu, kadang-kadang je..”

“Tak ada maknanya kadang-kadang, tak pasal-pasal pulak kena cari tempat parking nanti..Dah-dah, cepat siap… Along tunggu kat luar”

Ina bergegas menuju ke bilik untuk mengambil tudungnya. Tudung kecil bewarna merah jambu yang disarungkan membuatkan mukanya yang bulat itu bertambah comel. Setelah itu, ia berlari menuju ke pintu dapur, mencari seliparnya.”

“Alooong, selipar Ina hilang..”

“Ada la, pergi tengok kat luar tu..letak kat luar, p cari kat dapur, memang la tak jumpa..”

“Hehe”

Beserta senyuman comelnya, ia berlari ke luar.

“Along, tunggu la Ina..”

Ina berlari anak mengejar along dihadapan.

“Cepatla..”

“Tangan Nurul Sazlina disambut, dipimpinnya tangan kecil itu menuju ke pasar malam.

**********

Tiba di pasar malam, kelihatan masih belum ramai orang yang bertandang, salah satu sebab kenapa Along suka datang ke pasar malam selepas waktu asar. Satu lagi, makanan masih banyak.

“Ina, nak makan apa ni..?”

Sambil berfikir, Ina memandang ke arah gerai-gerai yang ada disekeliling, pelbagai juadah yang dihidangkan.

Dengan raut muka yang xbersalah.

“Emm, Along belikan Ina Ayam Bakar Madu, Pulut yang inti kelapa warna hijau tu, air Coconurt Shake dan..Apam Balik yang kecik..Tu je, hehe..”

“Amboi!! Mentang-mentang orang belanja, habis semua yang ada kat pasar malam ni dia nak angkut..badan kecik je, tapi makan banyak..”

“Hehe…ada orang nak belanja, biasa laa..”

Hampir 20 minit Along membawa adiknya mengelilingi kawasan sekitar pasar malam.

Ditengah-tengah kesibukan orang ramai yang sedang membeli juadah, seorang pak cik sedang memainkan akordeon sambil mengalukan alunan suara merdu lagu-lagu indah yang menambahkan lagi keriuhan suasana pasar malam.

“Kasihan kat dia kan Long.. Tapi pandailah dia main lagu, sedapkan suara dia..”

Walaupun hidup tanpa cahaya tapi pak cik itu masih berusaha mencari rezeki menggunakan segala kudrat yang masih berbaki. Tidak seperti sesetengah peminta sedekah, dilihat fizikalnya masih kuat, tapi sekadar menghulurkan tangan kosong meraih simpati.

“Ina, nak beli ayam madu ni kan..?”

“Emm, along…Ina nak tukar boleh tak, along tak payah belanja la Ina makanan-makanan tadi..Ina nak beli benda lain”

“Nak beli apa..”

“Tu… Gula-gula kapas, Ina nak satu ni je..yang lain tak payah beli tak pe..boleh kan along kan..”

“Eh, pandai-pandai pulak dia nak tukar..Tak boleh-tak boleh, benda tu bukanya kenyang..”

“Boleh la Along, boleh laaa..satu ni je…”

“No, no… Kalau nak beli sendiri…”

“Kedekut la Along ni….”

“Kalau beli benda tu memaaang Along kedekut, tapi kalau beli makanan Along ok je..beli makanan laa, kenyang sikit, ok..?”

Ina memuncungkan mulutnya sambil memintal-mintal tali tudungnya yang dipakai.”

“Hurmmmmmm….ok la..”

Waktu maghrib hampir tiba, para pengungjung mulai mempercepatkan langkah mereka kerana di sini apabila masuknya waktu maghrib, segala aktiviti jual beli akan dihentikan buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada para peniaga menunaikan solat fardhu maghrib.

“Ina, ada nak beli apa-apa lagi..?”

“Emm, tak ada dah..”

“Kalau gitu, dah, jom balik….”

“Eh, Long, jap..Air xbeli lagi ni…”

Along kehairanan.

“Laaaa, tadi kan dah beli…”

“Yang tadi tu..Ni haa, dah habis dah..hehe”

“Bertuah punya budak..minum sorang-sorang je..”

“Kan Along belanja Ina.. lagipun, letih tau jalan-jalan ni..”

“Letih dia je yang dia ingat.. Letih kita..?”

“Along tak pe la sebab Along dah besar… Ina ni kecik lagi…Tu la, tadi orang suruh datang dengan kereta tak nak..”

“Eeiiii, nak kena jugak budak kecik ni...Dah-dah, tu ada gerai air kat depan, kita beli sana…”

“Hehe…”

“Bang Coconurt Shake satu….”

“Ok, siap..”

“Terima kasih..”

“Ina…Dah, jom kita balik, dah nak gelap dah ni…”

“Emm, Along.. Along ada duit kecik tak…”

“Ada, kenape..?”

“Nak..!”

“Hmm, nak buat apa, Ina nak beli apa lagi..tak cukup lagi ke makanan ni..?”

“Ada la..Along, bagi laa..Seringgit je..boleh la Along…”

Along mengeluarkan duit dari dompetnya.

“Ina nak beli apa ni, kalau gula-gula kapas Along tak bagi…?”

“Bukan nak beli gula-gula kapas..ada laa…cepat la Along..”

Along menghulurkan sekeping not berjumlah satu ringgit kepada adiknya.

“Terima kasih Long.. Along tunggu sini jap eh, jap je..” Ina berlari kearah orang ramai yang masih sibuk membeli juadah.

“Eh, Ina..! nak pergi mana tu..”

“Along tunggu situ jap…jap agi Ina datang balik..”

Lima minit kemudian.

Ina kembali sambil tersenyum-senyum . Tapi tidak kelihatan pun makanan yang dibeli ditanganya.

Along kehairanan.

“Mana duit tadi..Ina beli apa..tak ada apa-apa pun..?”

“Ina bagi kat pak cik buta yang tengah main musik tadi..Ina kesian kat dia, mesti dia susah kan Long…”

Along terdiam.

 Terbit rasa terharu di dalam hatinya, kan bagus kalau semua orang macam kamu dik. Pasti aman dunia.

Along tersenyum sendirian. Menggosok lembut kepala adik bongsu kesayanganya. Moga syurga milikmu dik.

“Dah, jom kita balik..”

Along memimpin tangan adiknya menuju kerumah. Cerah mulai kelam, langit merah mulai menghilang.

Sekian.

Sauh Dilabuhkan,
Wassalam.
Pelayar Bahtera…
23 Rabi’ul Akhir 1433

Read more...

Kongsi: Gemersik Puisi Indah.

Saturday, 10 March 2012


Lihat dari jauh.
‎::..GEMERSIK PUISI INDAH OKI SETIANA DEWI..::

Negeri KELANTAN, Seindah NAMAmu,,
Tanah Serendah Sekebun Bunga,
Negeri Tadahan Wahyu..

Cik Siti Wan Kembang,
Cukup Indah Namamu,
Seindah Negerimu...

Duhai WAJAHmu Yang Indah,
Persis Jeddah,
Yang Pernah Kulewati..

TAAT Menjunjung AL-QURAN,
Teguh Menggalas SYARIAT,
Yang Tidak Pernah Goyah..

Tersentuh HATI KUDUSku,
Lantaran Aku Disini,
Biartidak Pernah Kuduga,
Bertemu Dengan Seorang ULAMA’ ,
Yang Dicintai RAKYAT..

Lalu KUNTUM RINDU Yang Lama Tersimpan,
Terubat Jua Akhirnya,
Biar SeKELUMIT CINTA..

Beruntung RAKYATnya,
Menumpah Teduh Seorang ULAMA’,
Yang LEMBUT Tapi Tegas BerIBADAT, 
Yang PENGASIH Namun tak goyah Pada Percikan KeALPAAN DUNIA..

Pasti Aku Merinduimu Lagi,
Entah Kapan Bisa Diubati,
Cuma SeTIPIS DOA Bisa Kutitip Buatmu,
Memacu MEMBANGUN ISLAM BERSAMA...

[ Oki Setiana Dewi, Bicara Selebriti 9 March 2012]



Read more...

Diari: Manfaatkan Sebaiknya Nikmat Itu.

Thursday, 8 March 2012





Dalam tidak sedar, kini umurku mencecah 21 tahun. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana masih  memberi kesempatan untuk kurasai nikmat kehidupan sebagai seorang hamba di tahun ke 21. Umur yang dikurniakan adalah satu nikmat, terkadang kita lupa untuk mensyukuri nikmat yang satu ini. Ku sujud mensyukuri nikmatnya setelah bangkit dari lena pada pagi 6 march 2012.

Genaplah kini 21 tahun lamanya sejak detik kelahiran seorang putra pada tanggal 6 March 1991.  Yang lahirnya ia suatu ketika dahulu telah memberikan kebahagian kepada sebuah keluarga. Moga keberadaanku disini masih memberi kebahagian buat mereka, kebahagiaan bukan kedukaan. Tidak  sekadar kebahagiaan disini, tapi kebahagiaan juga di sana. Insya’allah.

Harus difahami, dikala Dia masih mengurniakan nikmat umur buatmu, bukan sekadar hiduplah kamu di muka bumi ini, tapi manfaatkanlah hidupmu yang masih berbaki. Tika Dia mengurniakan nikmat umur itu, bererti Dia masih memberi peluang untuk hambanya memohon keampunan atas segala kesilapan, ruang untuk memperbaiki dan menambah bekal-bekal akhirat yang akan dibawa bersama nanti.

Tapi kita terkadang lupa, mungkin terlalu menikmati sehinggakan  kita lalai untuk kembali bersyukur akan kurniaNYA, sedangkan kita tahu tidak mustahil sekiranya ia berkehendak mengambil kembali nikmat ini.  Dan sekiranya hal sedemikian berlaku, alangkah malangnya jika saat dan ketika itu kita lalai dari mengingati, mensyukuri akan nikmat-nikmatnya.

Nanti, akan tibanya saat tika semua umat manusia dari segenap pelusuk dunia dibangkitkan semula atas kehendaNYA, tidak terkecuali walaupun seorang. Semuanya akan menuju ke padang Masyar dan di sana nanti akan ditanya perihal beberapa perkara antaranya KEMANA HARTAMU KAMU BELANJAKAN? KEMANA ILMUMU KAMU GUNAKAN? KEMANA UMURMU KAMU HABISKAN? Bersediakah kita dengan jawapan-jawapanya.

Tepuk dada tanya iman masing-masing. Ask your self, am I ready for all this kind of things, or at least am i prepare something for it? Yes or No, you have your own answer. Dan harus diingat akan suatu perkara, nanti bukan mulut yang akan berbicara memberikan jawapan, tapi amalmu, ya amalmu disini yang akan mempengaruhi nasibmu di sana nanti. Muhasabah buat teman dan diri.

Pesan hukama “Beramallah ketika berada di tempat yang tidak ada ganjaran tetapi peluang beramal (yakni dunia) sebelum kita berpindah ke tempat yang hanya ada ganjara tetapi sudah tidak ada peluang beramal (yakni akhirat)."

Sebagai akhirnya, ucapan ribuan terima kasih buat teman-teman yang sudi mendoakan segala macam kebaikan buat diri sempena sambutan kelahiran yang ke 21 ini. Doa yang sama dipanjatkan buat kalian. Moga doa-doa tersebut mendapat perkenanNYA, mudah-mudahan, Amin.

"Hidup Sekali, Manfaat Selamanya"

Sauh Dilabuhkan,
Wassalam.
PelayarBahtera…
05:51 a.m Teratak Damai
08 March 2012 / 15 Rabiul Akhir 1433 

Read more...

Cerpen: Lafaznya, Bukan Sekadar Pemanis Bicara.

Saturday, 3 March 2012


Kelihatan urusetia sedang sibuk menjalankan tugas mereka, manakala di suatu sudut, Syafiq tekun meneliti baris-baris terakhir  kertas kerja yang akan dibentangkanya sebentar lagi  menggantikan pembentang asal yang tidak dapat hadir kerana terlibat dengan satu kemalangan empat hari lepas.

Sedang semuanya sibuk dengan tugas masing-masing, mereka dikejutkan dengan bunyi pintu yang dibuka dan kelihatan sosok tubuh amir terhinjut-hinjut berjalan kearah mereka.

“Eh Amir! Apa yang kau buat kat sini, kan kaki kau masih belum ok lagi tu, rehat je lah kat rumah, nanti makin menjadi-jadi luka kau tu” nasihat Hakim, teman baiknya sejak dari sekolah rendah lagi hinggalah sekarang.

“aku ok je la, lagi pun ni memang dah jadi tanggung jawab aku” respon Amir bersahaja.

“Ye la, tapi aku tengok kaki kau tu masih belum baik sepenuhnya lagi, kalu jadi apa-apa kan kau jugak yang susah, lagipun dengan waktu yang ada ni aku tak rasa kau ada masa yang cukup untuk ‘prepare’ isi-isi pembentangan pagi ni ,” Hakim melahirkan rasa prihatin dan khuatir terhadap sahabatnya.

“Aku tak apa-ape la, dah dah bagi aku kertas kerja tu, tak perlu nak ‘prepare’ banyak-banyak pun, semuanya  dah ada kat dalam kepala otak aku ni” jawapan Amir seolah-olah membanggakan diri itu melahirkan rasa kurang enak sahabat-sahabat terhadap dirinya.

“Sombong diri nampak, dengar la cakap Hakim tu Mir, kamu tu belum sembuh lagi, lagipun kami dah minta tolong Syafik untuk gantikan tepat kamu, dia pun dah bersedia dah tu” tambah Ainun yang memang tidak suka dengan sikap Amir yang terlalu ambil mudah dalam satu-satu perkara.


“Aku dah cakap aku boleh handle aku boleh handle la kan, korang  jangan sibuk sangat boleh tak, dah! Pergi buat kerja”  tegas Amir membuatkan rakan-rakanya terus senyap, bukanya mengalah tapi tidak mahu bertengking dengan Amir, terkenal sangat dengan sifatnya yang cepat melenting.


Persembahan Amir kali ini kurang memuaskan sepanjang slot, perbentangan yang tersekat-sekat melihatkan ketidak sediaanya dalam menghuraikan isi perbentangan. Sewaktu sesi soal jawab pula, Amir kelihatan tergagap-gagap memberi jawapan menyebabkan mulai kedengaran bisikan suara-suara kecil para peserta.


Tidak senang melihat akan keadaan itu, sahabatnya Hakim yang berada dibelakang  dewan tampil kehadapan memberikan penjelasan dan menjawab persoalan-persoalan yang dikemukakan oleh para peserta. 

Nafas kelegaan terlihat di wajah urusetia yang berada di belakang apabila Hakim berhasil mententeramkan kembali suasana dewan.Slot seterusnya ditangguhkan dengan Kafaratul Majlis dan Surah Al-Asr.


***********************************************************************************

 “Kau ni memang saja nak malukan aku kan”  sindir Amir  kepada Hakim setelah mereka tiba di bilik urustia. Ia agak tercabar sewaktu Hakim membantunya ketika sesi soal jawab tadi.

“Apa kau cakap ni Mir, aku hanya nak bantu kau je tadi, tak terniat walau sedikit pun di hati aku, yang aku  nak malukan sahabat aku sendiri.” Hakim menafikan, agak terkejut dengan tuduhan sahabatnya.

“Aaah! kau ni memang dari sekolah rendah lagi, suka tengok aku diperlekehkan macam ni, suka kalau aku dimalukan, kau ni sahabat jenis apa ah!”  Amir semakin naik angin, masih tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku tadi.

“Dah la Amir, aku tak nak bertengkar, kau pergilah rehat dulu dan aku tak kisah pun apa yang kau cakap pasal aku, yang aku tahu niat aku tadi ikhlas nak bantu kau. Maaflah kalau aku ada buat salah” Hakim mengalah dan berlalu, dia tahu mungkin emosi Amir sedikit terganggu selepas terlibat kemalangan tempoh hari ditambah dengan kejadian di dalam dewan sebentar tadi.

“Hakim, kau nak pergi mana tu? aku belum habis lagi dengan kau ni, kau jangan nak mengelak dari aku” soal Amir yang masih tidak berpuas hati dengan Hakim yang pergi begitu saja selepas memalukanya tadi.

Hakim tidak menghiraukan teriakan Amir, baginya tidak perlu untuk ia bertengking dengan Amir akan perkara kecil sebegini, masih banyak tugas yang perlu diselesaikan. Hakim meneruskan langkahnya menuju ke arah pintu keluar.

Berang dengan sikap Hakim yang tidak mempedulikanya, Amir mengambil botol air yang masih penuh terisi di atas meja lalu melontarnya kearah Hakim untuk menghalangnya keluar. Botol tersebut terkena tepat di kepala Hakim menyebabkan ia tersandung meja lalu rebah, kelihatan bibirnya sedikit  terluka. Amir terkejut.

Para urusetia terkejut dengan tindakan Amir, belum sempat mereka hulurkan bantuan,Hakim bangkit dan mengesat titisan darah yang mengalir dibibirnya. Ia seolah-olah tidak percaya bahawa Amir akan sanggup mencederakan dirinya. “Amir, kita dah lama bersahabat Mir, sejak dari sekolah rendah lagi aku kenal kau kan, dan aku memang kenal sangat bahawa sahabat aku yang sorang ni memang cepat melenting sikit berbanding sahabat-sahabat aku  yang lain, tapi tak pe sebab aku faham, aku faham kerenah sahabat aku sorang ni. Cumanya hari ni aku sedikit terkejut dengan tindakan kau Mir, mungkin salah aku juga, aku masih belum betul-betul memahami sahabat aku. Aku tak kisah pun kalau kau nak buat aku lebih teruk dari ni kalau kau rasa tu boleh puaskan hati kau. Tapi aku tertanya-tanya mana sifat Salamatus Sodri(berlapang dada) yang seringkali kau sebut-sebut sewaktu usrah kita dulu?”  Hakim melahirkan rasa kekecewaanya terhadap Amir.

 “Ermm, Hakim aku mint…” belum sempat Amir melahirkan rasa kekesalan atas tindakanya tadi, Hakim meneruskan lagi ucapanya.

“Kalau kau masih ingat kan, sewaktu awal-awal persahabatan kita dulu, pernah aku bertanya,  kenapa ya sampai Allah mengutuskan dua orang rasul dalam satu tempat contonya seperti Nabi Harun Nabi Musa dan Nabi Isa dan Nabi Yahya A.S. Dan jawapan yang kau berikan dulu masih segar di ingatan aku Mir” Hakim membiarkan Amir seketika mengimbau kembali detik-detik itu.

“Kata kau, Hakim, sebenarnya salah satu daripada sebab kenapa di utuskan dua orang rasul  dalam satu tempat atau satu tempoh masa adalah untuk mereka saling bantu membantu dalam menjalankan usaha dakwah kepada masyarakat kaumnya. Sebagai contoh dalam kes Nabi Musa dan Nabi Harun A.S,  diriwayatkan bahawa Nabi Musa tidak petah bercakap kerana bara api yang telah membakar lidah baginda sewaktu kecil. Nabi Musa pernah memukul kepala firaun sewaktu kecil ketika didukungnya. Perkara ini menyebabkan Firaun merasa marah dan hendak menjatuhkan hukuman keatasnya iaitu pancung. Isterinya Asiah yang terlalu kasih kepada Musa meminta diberikan peluang untuk diadili kerana beliau masih kecil. Lantas baginda diberi pilihan antara bara dan permata. Apabila baginda hendak mencapai permata, Malaikat Jibril menolak tanganya kepada bara api lalu dimakan, hingga terbakarlah lidahnya. Jadi, salah satu sebab kenapa Nabi Harun diutuskan bersama-sama Nabi Musa ialah agar baginda dapat membantu Nabi Musa dalam menyeru manusia kepada Allah.” Hakim menceritakan kembali detik-detik awal perkenalan mereka dahulu.

“Amir, niat aku hanyalah untuk mencontohi kisah perjuangan Nabi Harun yang membantu saudaranya Nabi Musa dalam menyampaikan risalah Islam, ternyatanya ia tidaklah semudah yang aku sangka tapi akan aku usahakan lagi Mir. Cuma pesan aku buat, lafaz manisnya ukhuwwah bukan sekadar penghias bicara, tapi ia akan sendirinya hadir bila hati-hati insan bersatu bersama membantu dalam perjuangaNYA.” Hakim sebak, ia mengakhiri kata-katanya dengan sepotong ayat suci al-Quran sebelum berlalu pergi.

“Dan Sesungguhnya Kami telah berikan Kitab Taurat kepada Nabi Musa, dan Kami lantik saudaranya Nabi Harun, sebagai pembantunya."  [Al-Furqan : 35]


“Puas hati??? Susah sangat ke nak ucap terima kasih kepada orang yang telah membantu kita, mahal sangat ke harga ucapan terima kasih tu? Hiduplah dengan rasa ego dalam diri tu!.” Bentak Ainun yang terkilan dengan kelakuan Amir sebentar tadi lalu pergi meninggalkanya sendirian.

Amir terpaku seketika mendengar kata-kata dari sahabatnya. Terasa berat dadanya lantas titisan jernih mula mengalir keluar dari kedua anak matanya, moga titisan ini titisan keinsafan akan khilafnya, moga titisan ini akan mengukuhkan lagi ukhuwwah di antara mereka, “Maafkan aku sahabat”. 

-Sekian-

p/s: Cerpen ini pernah dihantar dalam satu pertandingan dan telah terpilih untuk dimuatkan dalam satu majalah. Dapatlah sedikit hadiah. :p Memang diakui jalan ceritanya tak menarik pun dan yang ini telah di edit sedikit kerana karya yang asal terlalu ringkas. Hadiah dan terpilih untuk masuk dalam Majalah tu mungkin sebab tak de sangat kot orang hantar, tu yang dapat tu. Apa pun Alhamdulillah, dapatlah dikongsi hadiah yang sedikit tu dengan beberapa orang teman.



Sauh Dilabuhkan,
Wassalam.
PelayarBahtera...

Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Rancang perjalanan hidupmu sebaik mungkin tanpa melupakan bahawa Dia juga punyai perancangan tersendiri buat hidupmu. Usah terlalu berharap pada yang Dimiliki, panjatkan segala kebergantunganmu hanya pada yang Memiliki" -DaMai-