بسم الله الرحمن الرجيم
Pelayaran Bahtera Ini Bermula.
Seorang pelayar,
pelayar bahtera yang akan membelah luasnya lautan Ilahi. Bahtera ini, Bahtera
Perjuangan dan lautan ini, Lautan Kehidupan. Pelayaran dalam mencari dan
mendalami Hakikat Sebenar Kejadian diri di atas muka bumi.
Pelayaran yang tidak
pernah diketahui manakah sudahnya, bilakah akhirnya, cuma yang pasti pelayaran
ini tidak lain tidak bukan akan membawa diri menuju Kehidupan Abadi, dan tika
tibanya disana nanti, walau seluas manapun Lautan Ilahi, akan tiada lagi laluan
pulang.
Justeru, dengan
izinNya akan dikemudikan Bahtera Pelayaran ini sebaik mungkin hingga nanti tiba
disuatu saat berlabuhnya pelayaran ini di Destinasi Perlabuhan Hakiki membawa
bersama Keredhaan Ilahi.
Persoalan Dan Kepastian.
Hakikatnya, diri ini
tidak pasti, sejauh manakah pelayaran ini? Berapa lamakah harus didayungi
bahtera perjuangan ini? Apakah sempat untuk Bahtera tiba di destinasi yang
dituju? Kuatkah diri mengharungi segala onak dan duri?
Ya, seringkali
persoalan-persoalan sebegini hadir berlegar-legar dibenak fikiran tanpa
diberikan jawapan, namun, melihat akan keluasan Lautan Kehidupan ini, diri
seolah-olah mengerti bahawa pelayaran ini masih panjang jaraknya, masih jauh perjalanan
yang harus ditempuhi.
Dan suatu kepastian
juga, pelayaran ini bukan semudah yang disangka untuk didayungi. Mungkin saja
ombak badai sedang menanti dihadapan, menanti untuk menguji, seteguh manakah
pelayar-pelayar bahtera dilautan ini. Seteguh manakah diri mampu mengemudi
Bahtera Perjuangan ini.
Seorang Pelayar Yang
Hebat.
Seorang pelayar yang
hebat di Lautan Luas Ilahi, tidak mungkin diuji dengan sapaan angin sepoi-sepoi
bahasa, titisan hujan selembut titisan embun, lambaian ombak setenang
aliran sungai mengalir.Tapi, seorang pelayar
yang hebat akan lahir setelah berjayanya ia mengharungi tamparan ribut taufan,
deruan hujan kilat, goncangan ombak yang mengganas di lautan pertempuran.
Mahu atau tidak, diri
ini perlu senangtiasa siap untuk menghadapi sebarang kebarangkalian yang
mungkin terjadi sewaktu perlayaran. Air yang selalunya tenang, jangan pernah
diingat akan selamanya tenang. Angin yang biasanya damai, jangan pernah diingat
akan selamanya damai. Beringatlah duhai teman.
Segalanya Dalam
Suratan Takdir.
Bahtera ini mungkin
saja pecah dipukul ombak, mungkin saja ia akan karam nun jauh di dasar lautan,
dan diri ini mungkin saja hanyut dibawa arus ke tengah lautan. Namun, jika
berbekalkan hakikat, Allah sentiasa bersama hamba-hambanya, tawakkal dan doa
menjadi teman setiap satu usaha, pasti dan pasti segalanya akan selamat jika di
izinNYA.
Setiap gerak walaupun
sekadar sebutir pasir halus ditepian pantai yang jauh terlindung dari
pandangan, semuanya tidak terlepas dari ilmunya Allah, apatah lagi diri sang
pelayar lemah ini.
Seandainya pelayaran
ini terkandas ditengah lautan, itulah takdirNya buat diri, mungkin hanya
disinilah suatu perjalanan menuju destinasi, dan begitu jugalah sebaliknya.
Segalanya, atas kehendak yang Maha Kuasa.
Bulan, Teman Setia
Pelayaran.
|
"Rembulan, Cahayanya Menawan, Menerangi Kegelapan Malam." |
Walaupun jauh ia terawang-awangan di atas sana, ia
tetap dekat dihati. Sentiasa menemani diri dalam pelayaran yang entah dimana
kesudahanya. Cahayanya menerangi pelayaran ini dikala gelap menyelubungi malam.
Setia mendampingi dikala hati dilanda resah, gelisah. Di sanalah tempat
berkongsi suka duka dalam mengharungi pahit getir pelayaran ini.
Memandang akan keindahan cahaya yang terpancar darinya
membuatkan hati menjadi tenang, segala yang resah beransur hilang walaupun
mungkin untuk seketika, tapi kehadiranya cukup untuk diri merasai Nikmatnya
Ketenangan. Dimanapun jua diri ini berlayar, akan tetap menatap keindahan
cahaya bulan yang sama. Moga akan terus sentiasa di temaninya.
Bintang, Memandu Arah
Perjalanan.
|
Bintang-Bintang Bertaburan Di Angkasa, Angkasa Raya.
Panduan Mereka Yang Berkelana. |
Rasulullah S.A.W sendiri pernah mengumpamakan
sahabat-sahabat baginda bagaikan bintang-bintang dilangit, dan begitu jugalah
sahabat-sahabat buat diri ini, mereka diibarat bintang-bintang berkelipan nun
jauh di langit sana, sentiasa membimbing dan memandu diri ini, membetulkan
haluan seandainya bahtera tersasar laluan. Moga tidak pernah jemu, memandu arah
pelayaran.
Pelayar Juga Insan
Biasa.
Perlu di ingatkan, walau sehebat manapun seorang
pelayar, jika namanya seorang pelayar, maka dia juga adalah insan. Bukannya
diri tidak pernah tergelincir dari laluan menuju keredhaan, ya diri ini pernah
tergelincir, kerana pelayar ini hanyalah seorang insan biasa, insan yang punyai
seribu kemungkinan untuk melakukan kesilapan.
Dulu, pernah
diri ini tergelincir disebabkan oleh kelekaan sendiri, terlampau asyik dengan
keindahan dunia dan akibatnya amat pedih, diri ini terluka. Namun kini, untuk
diratapi mahupun dikenang sesuatu yang telah berlalu, hanya membuatkan diri ini
terus ditertawa.
Pada hemat diri, pelayaran ini harus diteruskan,
perjalanan ini masih panjang untuk di tempuhi. Dan sesekali ya, akan dihalakan
pandangan ini ke belakang, mengimbau kenangan semalam, agar diri ini sentiasa
dingatkan, agar tidak lupa bahawa ia pernah tersungkur dalam pelayaran. Moga,
kesilapan itu tidak akan diulangi lagi.
Redahlah Lautan, Usah
diLupakan Pengkalan.
Suatu kata-kata yang pernah dilafazkan oleh seseorang
buat bekalan pelayaran panjang ini. Mendalam maksudnya, cukup untuk membuatkan
diri ini terkenang kembali perjalanan-perjalanan panjang yang pernah dilalui.
Pahit dan manisnya bisa mengubat hati yang lesu dan membangkitkan kembali
semangat bagi meneruskan pelayaran ini.
Tidak akan pernah dilupakan jasa-jasa kalian yang
telah mendidik diri ini menjadi seorang manusia yang mampu berdiri untuk
berusaha mengenal Hakikat Sebuah Kehidupan. Moga diri ini sentiasa dalam tiap
bait bicara doa kalian.
Dan
pada Bahtera Pelayaran ini, akan dinukilkan segala macam pengalaman yang telah
dilalui, sedang dilalui dan yang mungkin akan dilalui sepanjang pelayaran ini.
Akan dikongsi pahit manis dan akan dititipkan juga pengajaran, pandangan atau
apa sahaja yang mungkin difikirkan bermanfaat kepada insan yang sedang juga
melayari Bahtera Perjuangan Lautan Kehidupan ini.
Apa
yang baik sudikanlah dijadikan pedoman buat bekalan pelayaran, dan yang tidak,
hanyutkanlah ia ke dasar lautan, hilangkanlah ia dari pandangan. Moga kebaikan
untuk semua.
Akhir
bicara, mohon didoakan agar diri ini terus kuat dan teguh dalam mengharungi
dugaan dan badai yang bakal mendatang sepanjang pelayaran. Segala silap dan
salah mohon dimaafkan. Apa yang diharapkan, moga-moga melalui coretan-coretan
perkongsian ini, akan menambahkan saham untuk diri di akhirat kelak.
Segala teguran dan pesanan buat diri ini amat dihargai, moga-moga
ia akan menjadi bekalan yang berguna untuk diri agar terus thabat dalam
melayari Bahtera Perjuangan Lautan Kehidupan, Menuju Destinasi Perlabuhan
Hakiki.
|
Pelayar Bahtera Lautan Luas Ilahi. |
Sauh Dilabuhkan,
Wassalam.
PelayarBahtera...
Read more...